Hajat untuk kembali menjejak kaki ke tanah Labuan ini terjadi begitu sahaja selepas balik dari trip ke Tenom. Anak-anak belum puas bercuti dan mungkin juga sudah ketagihan dengan cuti yang hebat macam tahun lepas. Jadinya, rancangan untuk ke sini mulai disusun rapi meskipun kadar kewangan tidaklah begitu menggiurkan saat ini.
Kami memulakan perjalanan kami pada hari Rabu dan akan kembali semula ke sini pada hari Jumaat. Cukuplah rasanya dua hari untuk merentas Pulau Labuan yang tidak sebesar mana tu. Paling-paling mahu melawat tempat kami adik-beradik dibesarkan di Layang-Layangan dan beberapa tempat nostalgia kesukaan kami sekeluarga dulu. Aku masih ingat dulu sepulang dari belayar, abah akan bawa kami makan-makan di Medan Selera dan berkelah di tasik mahupun di Pantai Pohon Batu. Mungkin aku ni waris abah yang suka mendekatkan diri pada alam untuk memaknakan erti percutian.