Saturday, November 24, 2012 | By: Luna Biru

Cabin Wood Taman Pertanian, Tenom, Sabah

Kami meneruskan perjalanan menuju ke destinasi di Taman Pertanian, Tenom, Sabah. Taman ini terletak di Kg. Lagud Seberang, Tenom sejauh 12km dari pekan. Ianya juga dikenali sebagai Muziium Tanaman Hidup, Taman Orkid dan Lebah Madu. 

Kami tiba agak lewat petang meskipun sudah diingatkan oleh pegawai bertugas supaya kami sampai lebih awal. Pada mulanya kami menempah bilik asrama untuk dijadikan tempat penginapan. Kadar bayaran yang dikenakan adalah RM15 untuk dewasa dan RM10 untuk pelajar. Tapi kami kemudiannya menukar keputusan apabila mengetahui bahawa sebuah lagi chalet masih kosong kerana penyewanya membatalkan tempahan pada saat-saat akhir. Akhirnya, chalet pun bertukar tuan dan menjadi milik kami untuk dua hari ini dengan kadar bayaran RM150 satu malam. 


Suasana agak sunyi dan suram begitu kami melangkah masuk ke ruang dalam kawasan taman. Manakan tidak, saat itu, hari sedang beralih ke senja dengan hujan merenyai yang agak dingin menusuk ke kulit. Ketika kaki menjejak ke tempat penginapan, mata terpana seketika melihat kecomelan binaan chalet yang dibuat seutuhnya daripada kayu jati. Sebuah tasik yang tenang dan jernih terbentang luas di hadapan mata dengan risikan pohon bambu yang bergetar bak seorang perindu. Terus-terang dikatakan, bulu kuduk agak sedikit meremang tapi mungkin aku tidak sempat untuk merasa takut bila melihat keghairahan anak-anak yang berlari ke sana-sini meski matahari sudah mulai lenyap ditelan bumi. 

Sebuah tasik di hadapan chalet
Wood Chalet

Agak berbaloi menyewa chalet ini kerana ia mempunyai sebuah ruang tamu, dua buah bilik tidur dan sebuah dapur yang lengkap dengan segala keperluan memasak. Lebih menarik lagi, sebuah tanda amaran telah dilekatkan di dinding mengenai penggunaan bahan mentah yang hanya berasaskan halal semata-mata. Malangnya chalet ini tidak menyedikan televisyen yang pastinya akan menimbulkan sedikit huru-hara di kalangan budak-budak. Jadi kami pun merancang untuk membuat acara Super Spontan malam ini sekadar untuk membunuh masa sepi sebelum menanti musim tidur. 




Malam itu kami menikmati makan malam di Restoran Asia Rasa yang terletak di Pekan Tenom. Sepulangnya dari sana, kami singgah sekejap di Bestamart untuk membeli keperluan dapur dan makanan ringan untuk dimakan besok pagi. Ketika kami sampai ke chalet, suasana gelap dan sunyi semakin menyelubungi. Rasa seram mula timbul. Aku cuma berharap agar apa-apapun 'makhluk' yang ada di situ tidak akan berminat untuk menganggu kami sekeluarga. Oh, katalah aku manusia tradisional atau percaya tahyul. Apa yang pasti, 'mereka' itu tetap wujud sebagaimana yang tertulis atas firman Allah. Hanya iman dan taqwa saja yang membuatkan kita lebih baik dari mereka. Wallahuaklam. 

Jadi kami pun memulai acara Super Spontan kami malam itu seperti yang dijanjikan. Kumpulan dibahagikan kepada nama standard Beruang Comel dan Angsa Ganas. Arin, Aizat dan Abe dalam kumpulan Angsa Ganas manakala Acik, Eman dan Ade pula Beruang Comel. Kami bermain 4 set game yang dipenuhi dengan gelak ketawa yang memecahkan urat perut. Saat itu aku sedar kalau Anis tidak ada di sekitar kami. Pasti cewek seorang itu merasa rendah diri lagi kerana perbezaan jantina. Itulah krisis yang sedang dihadapi Anis sejak bertahun lamanya. Aku belum berjaya sepenuhnya untuk memulihkannya. 

Pada episod penentuan, akhirnya keputusan memihak kepada kumpulan Beruang Comel dengan kelebihan mata 4-3. 




Setelah permainan tamat, aku baru menyedari bahawa Anis bukan sahaja tidak berada di kawasan ruang tamu tempat kami berkumpul. Dia juga tidak berada di dalam bilik tidur, bahkan di dapur. Kami mulai panik dan memanggilnya namun tiada sahutan yang berbalas. Pelbagai andaian buruk mulai singgah di kepalaku dan  aku semakin resah dengan segala kemungkinan itu. Akhirnya kami menemukan Anis di bilik mandi dalam keadaan yang amat memeranjatkan. Rupanya, anak gadisku sudah satu jam terpengap sendiran di bilik mandi apabila ternampak 'sesuatu' sedang menatapnya dari jendela kamar mandi. Menurutnya, makhluk itu menatapnya dengan wajah yang mengerikan hinggakan dia merasa seluruh tubuhnya kaku dan tidak mampu digerakkan. Wallahuaklam.

Payah juga kami memulihkan dan mengembalikan kembali segala semangat dan kekuatannya malam itu. Syukurlah Anis pulih juga akhirnya. Maha suci engkau ya Allah...

Nasihat mama Anis, (dan anak-anak mama yang lain),

Setiap makhluk itu mempunyai senjata mereka sendiri untuk melemahkan lawan mereka. Senjata makhluk halus adalah wajah mereka yang hodoh. Manakala senjata kita orang mukmin pula adalah Allah. Sepertimana kau membuka tin dengan pisau, maka tin tidak akan dapat dibuka kalau kau menghentakkan pisaumu dengan ragu-ragu. Tapi, sekiranya kau menghentakkan pisaumu dengan yakin, maka tin itu akan terbuka walaupun hanya dengan sekali hentakan. Begitulah perihalnya bila kau menggunakan senjata.

Membuka tin dengan pisau : suatu perumpaan

Kita sememangnya tahu bahawa surah-surah amalan yang kita baca selama ini mampu menewaskan musuh-musuh Allah. Tapi kita tidak pernah menggunakannya dengan baik kerana kita sendiri tidak pernah merasa benar-benar yakin dengan kekuatan surah itu sebagai senjata utama kita. Kenapa? Tepuk dada, tanyalah selera anak-anakku...

Namun percayalah, sebagaimana kamu merasa yakin akan kemampuan pisau untuk membuka tin itu, maka seperti itulah sepatutnya hati kita merasa yakin akan kemampuan sebuah surah, walau sependek manapun ia dalam  melalui sesuatu hal yang terduga dalam hidup kita. Ingatlah....Hayatilah....Yakinlah...Sehaqqulnya....


Jadi, begitulah berakhirnya malam percutian kami yang agak separuh ngeri bagi anak-anak. Tapi aku tidak menyesal sebab bagi aku ini adalah sebahagian dari kehidupan. Dengan menerima kenyataan bahawa kita berkongsi dunia dengan makhluk lain, membuat kita menjadi manusia yang lebih bersyukur...Ini hanyalah sezarah kecil pengalaman yang dapat kamu kutip dari dunia bawah sedar kita....

Subhanallah...













0 comments:

Post a Comment