Monday, March 2, 2015 | By: Luna Biru

Pembunuh cinta

Aku tak tahu apa dah jadi...

Makin lama, makin tiada cintaku di dunia keguruan ini. Mungkin aku tak terbiasa dengan suasana baru; dari konkrit ke papan, dari tar ke kerikil, dari tangga ke pathway.

Penat.

Setiap hari adalah kurasan tenaga yang melampau. Setiap pagi adalah buru-buru yang gila. Setiap pulang adalah sisa tenaga yang lunyai. Aku tak tahu sampai bila aku boleh benar-benar bangkit untuk menjunjung cintaku. Dunia keguruan ini benar-benar menyusut segala berani dan gagah. Musnah segala motivasi untuk mendidik anak bangsa dek kekalutan kerja-kerja pengkeranian dan birokrasi. Hilang segala kreativiti dengan sistem mentoring yang menyekat percaya diri. Bosan dengan aktiviti self-reflection discussion yang menyita masa rehat yang cuma sedikit. Semua itu pembunuh merdeka seorang guru yang di hatinya saat bangun pagi bersumpah mahu memberi jiwa pada anak didiknya. Lalu yang diberi di kelas adalah sisa...benar-benar sisa. Dan yang dibawa pulang? Kosong. Akulah sisa itu.



Dulu kukira aku akan dapat meninggalkan ini semua dengan mencari hidup baru di tanah arab. Semua itu juga ternyata mimpi palsu...nyatanya, aku masih terus di sini...

Lalu kukira impian untuk memula perniagaan printing akan membawa aku keluar dari sini. Juga masih samar-samar...tiada yang benar-benar pasti. Hakikatnya, aku masih juga di sini...

Tuhan, kalau takdirku jadi guru sampai ke pencen, Kau kembalikanlah cintaku pada dunia keguruan ini. Permudahkanlah segala urusan perkeranian, dan kurangkanlah idea-idea transformasi dari pihak tertinggi yang nyatanya tidak juga membawa ke mana-mana...hanya membawa lelah dan penat. Lenyapkanlah birokrasi dan sistem-sistem mentoring yang merampas masa makan. Buatlah mereka tahu bahawa semua itu adalah pembunuh cinta, bukan menghidupkan cinta.

Kepada kau,
yang mungkin membaca ini...lalu merasa mahu menjadi hero dengan menyerahkannya pada yang kau rasa berhak untuk tahu...silakanlah. Semoga Allah merahmati mulutmu. Amin...


0 comments:

Post a Comment