Saturday, December 1, 2012 | By: Luna Biru

Beta Service Apartment, Labuan

Terletak di Ujana Financial Park, Beta Service Apartment ternyata adalah satu pilihan yang sangat tepat kepada anda yang berminat untuk menginap di Pulau ini. Kita mempunyai pilihan untuk menginap di satu bilik, dua bilik atau tiga bilik dengan kadar harga yang amat berpatutan. Penginapan di apartment ini sangat selesa dengan segala kelengkapan peralatan dan kadar keluasan yang sesuai dengan jumlah ahli keluarga yang besar. 

Kami memilih apartment tiga bilik dengan kadar harga RM312 untuk gov rate. Paling menarik tempat ini ialah bilik mandi terdapat dalam semua bilik tidur dan dua lagi ada di bahagian dapur dan laundry. Dapur juga lengkap dengan segala keperluan jadi kalau berminat mahu memasak, silalah beli bahan mentah sendiri. Suatu hal yang paling aku suka ialah koridornya yang luas dan panjang berhadapan dengan Masjid Jamek. Seronok lepak di sana waktu malam. 

Kisah Anis di 1MCC

1 Dis 2012

Baru sekejap Astro Kasih updatekan gambar rombongan Sabah yang sudah selamat tiba di bumi KL. Alhamdulillah...

Baru sekejap tadi juga Anis telefon bagitau betapa nervousnya dia menghadapi dunia barunya yang sudah dimulai sejak kakinya menjejak di Pusat Pembangunan Agrobank di Bangi, Selangor. Nervous tapi seronok, katanya. Bahkan, waktu dia sedang bercakap dengan aku pun, dia masih lagi dalam mood bersenda-gurau dengan rakan sebiliknya, orang Johor. Seronok betul dengar suaranya yang sedang gembira. She deserves it.

Terbanglah Anis....

1 Dis 2012 (Sabtu).

Lalu hari ini pun tibalah. 

Anis pun kami lepaskan dengan segala doa dan restu menuju mimpi dan citanya untuk menjadi pemain bola sepak perempuan yang termahal di Malaysia (atau di dunia, katamya).

Air mata Abe di Hari Khatan

27 Dis 2012 (Selasa).
Abe di majlis sarakal berkhatan tahun 2009
Aku tak tahu kalau hari ini sangat bermakna dan menakutkan bagi Abe. Lebih dua jam memujuknya untuk jadi berani sampaikan si atok dipanggil untuk jadi motivator. Lucunya, dalam banyak-banyak cucu, cuma si Abe saja yang pernah dilahirkan atok. Hari ini, pun dalam banyak-banyak cucu, si Abe sekali lagi jadi  pemecah tradisi ditemankan atok untuk dikhatan. 

Ini adalah pengalaman baru bagi Abe. Sekaligus juga pengalaman baru bagi aku. Waktu Arin disunat tiga tahun dulu, aku tidak menemaninya sebab aku tahu Arin berjiwa kuat. Abe ternyata jauh berbeza dengan Arin. 

Hmmm....tiga lagi menyusul selepas ini. Harap tak seteruk Abe. 
Sunday, November 25, 2012 | By: Luna Biru

Kembali ke tanah Labuan

Hajat untuk kembali menjejak kaki ke tanah Labuan ini terjadi begitu sahaja selepas balik dari trip ke Tenom. Anak-anak belum puas bercuti dan mungkin juga sudah ketagihan dengan cuti yang hebat macam tahun lepas. Jadinya, rancangan untuk ke sini mulai disusun rapi meskipun kadar kewangan tidaklah begitu menggiurkan saat ini. 

Kami memulakan perjalanan kami pada hari Rabu dan akan kembali semula ke sini pada hari Jumaat. Cukuplah rasanya dua hari untuk merentas Pulau Labuan yang tidak sebesar mana tu. Paling-paling mahu melawat tempat kami adik-beradik dibesarkan di Layang-Layangan dan beberapa tempat nostalgia kesukaan kami sekeluarga dulu. Aku masih ingat dulu sepulang dari belayar, abah akan bawa kami makan-makan di Medan Selera dan berkelah di tasik mahupun di Pantai Pohon Batu. Mungkin aku ni waris abah yang suka mendekatkan diri pada alam untuk memaknakan erti percutian. 

Pantai Sawangan, Kuala Penyu

Ini adalah jejak kaki pertama ke Kuala Penyu. Kami sampai agak lewat petang sekadar untuk memburu matahari tenggelam yang kononnya amat indah dari sini. Malangnya, suasana alam tidak mengizinkan kami untuk merakam fenomena indah itu. 

Penat menguasai diri setelah lebih 3 jam terjeruk di perut kereta dari Tenom ke sini. Nasib baik bekalan makanan tadi masih ada jadi habislah semuanya dibaham oleh kami. Kami berhenti rehat di pantai ini selama setengah jam lalu akhirnya menerima jemputan dari kenalan Along untuk makan malam di rumahnya.
Saturday, November 24, 2012 | By: Luna Biru

Muzium Budaya Murut, Tenom

Rumah Budaya Murut ini juga sudah sering kami kunjungi sebelum ini. Namun kunjungan kali ini agak berbeza bila mendapati beberapa pembaharuan telah dibuat di kawasan muzium ini. 

Kalau dahulu, tidak terdapat sebarang bayaran dikenakan untuk masuk ke tempat ini. Namun sekarang, caj RM5.00 seorang dikenakan untuk dewasa dan RM3.00 pula kanak-kanak atau pelajar sekolah. Sebuah pintu gerbang yang dahulunya tidak ada juga telah bersedia menyambut kehadiran kita dengan penuh gah. 
Malangnya, suatu hal yang tidak berubah adalah pengisian tempat ini sendiri. Suasana sunyi dan lompang tanpa seorang pun penyambut tetamu mahupun pemandu pelancong yang menerima kehadiran kami. Kawasan dalam muzium bagai rumah sepi yang ditinggalkan manusia. Informasi-informasi berguna juga tidak banyak membantu untuk menarik perhatian golongan pelancong untuk mengupas lebih dalam tentang dunia kaum Murut.