Thursday, January 31, 2013 | By: Luna Biru

Wahai si mulut dan si hati

Apasal bangga sangat kalau kita ada 'mulut puaka'?

Dah ramai manusia aku kenal jenis macam ni.

Bagi aku sejujurnya, ia bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan, apalagi dipertahankan. Ianya adalah kelemahan diri yang melambangkan keperibadian kita secara keseluruhan. Pekerti kita tu kan sebahagiannya terletak di mulut...

Apapun, bila sudah memang sikap suka membangkang dan suka mengenakan orang lain, memang sukar melihat kelemahan diri sendiri. Sikap sendiri dianggap sebagai satu kelebihan mutlak yang wajar difahami dan diterima oleh orang lain. Kaki kalau dah biasa jalan kengkang, jadi walaucamana nak jalan berkatup pun, nampak juga kengkangnya. Begitu juga mulut.


Then, kalau si mulut puaka bergabung dengan si hati puaka, maka lengkaplah segala bencana dunia di maya pada ini.

Konsekuensinya, hak bercakap orang lain dirampas. Kebenaran pun tak mampu bebas lagi.

Puas?

Suka kau lah....


 
Monday, January 28, 2013 | By: Luna Biru

Baby Boo


      Aku membuka mataku dengan keengganan yang melampau. Cahaya lampu kalimantang yang putih kekuningan menyilaukan pandangan mataku. Bunyi-bunyi suara melantang terdengar dari luar bilik. Bunyi suara itulah yang sering menjadi jam penggera membanguniku setiap subuh. Namun tidak biasanya suara itu ribut pada jam dini seperti ini. Siapalah yang memerlukan ribut saat fajar belum terbit di kaki horizon? Apalagi aku yang telah melalui sebuah kejadian malang kerana kehilangan nendaku yang tersayang tiga hari yang lalu. Musim sedihku belum berakhir. Penat mengurus jenazah dan kenduri nenek di kampung pun masih tersisa di badan.

Ketika segalanya kau hanguskan


.......Kalau diibaratkan dia seperti enggang, maka aku adalah pipit itu. Ia adalah sebuah melankolik yang klise, tapi nyata. Aku menyedari hakikat dan kekuranganku. Aku memang tidak secantik gadis-gadis lain. Kata mama, dia sendiri terkejut melihat raut wajahku sewaktu bidan menyerahkan aku ke pangkuannya. Aku memiliki sepasang mata yang besar dan kuyu, mirip manusia yang mengantuk seumur hidup. Bibirku agak tebal di bahagian atas, dan sedikit menjuih di bahagian bawah.  Hidungku tidak berbatang dan mengembang di bahagian hujung. Keningku bersimpul, sementara telingaku sedikit cupang dan agak tertangkup ke hadapan. Aku sangat berbeza dengan anak-anak mama yang lain. Barangkali mama terserempak dengan alien saat mengandungkan aku.

Ketika Tuhan lebih tahu


“Maafkan aku, Wani. Sungguh aku sangat menghargai perasaanmu padaku. Tapi...” lelaki itu menghentikan ucapannya. Dia menatapku sayu. Bola matanya memandangku dengan penuh kesedihan. Penolakannya sudah terduga sejak awal lagi. Dari dulu juga aku sudah tahu kalau aku bukanlah gadis yang tersenarai dalam carta hatinya. Namun, kelelahan memendam rahsia cinta yang senyap menjadikan aku nekad untuk merungkai misteri kisah cinta itu. Sekadar mencari kepastian. Sekaligus mengharapkan keajaiban. Hakikatnya, aku sudah siap menghadapi penolakan ini.

Ada hantu di kepalaku


        Ada hantu di kepalaku. Hantu itu berupa wajahku. Hanya wajahnya jauh lebih hodoh dariku dengan kulit kehitaman dan mata yang merah menyala. Tubuhnya kadang kurus, kadang gemuk, bergantung kepada amal kebaikan yang aku lakukan. Semakin aku banyak melakukan kebaikan, semakin kurus tubuhnya. Lalu dia akan mengamuk dan memekik dengan suaranya yang gempita. Nyaringnya menimbulkan desing di telingaku dan sakit yang luar biasa di kepalaku. Biji-biji ubat pembunuh sakit pun tidak akan dapat menghentikannya. Dia hanya akan berhenti kalau aku nekad meminta doktor menyuntikku dengan ubat penenang. Lalu kami akan terbang bersama dalam kepulan awan yang putih. Aman.

Sepucuk surat untuk Tuhan


Aku menghembus sisa-sisa asap rokok di mulutku dengan hati yang masih panas. Setelah semua asapnya habis keluar, rokok yang sudah separuh itu kusedut lagi dalam-dalam. Aku dapat merasakan nikotin merasuki paru-paruku. Aku tersedak seketika. Pasti racun itu sudah mengotori paru-paruku hingga ia tidak mampu lagi bekerja dengan baik.
Rokok sialan! Makiku dalam hati. Atau manusia yang sialan? Sudah tahu merokok itu membahayakan kesihatan, tapi masih juga dibeli dan dihisap. Kubuang puntungnya ke lantai dan kupijak dengan kasutku. Puntung itu pun melunyai di lantai dermaga. Kalau itu Dani, alangkah baiknya, ketusku dalam hati.

Kembara ke Dunia astral


Sudah tiga bulan, lebih sedikit anakku yang selalu manis dan manja itu tidur pulas di atas ranjangnya. Demikian asyiknya dia mengulit mimpi seakan tidak ada satupun yang mampu mengejutkannya. Tusukan demi tusukan jarum yang bersilih ganti menembusi kulit tangannya, urat kakinya atau bahkan kulit kepalanya juga tidak mampu menggoyahkan mimpinya. Dia bagaikan puteri salju yang tewas akibat termakan epal beracun. Kami pula adalah tujuh orang kerdil yang setia menantinya membuka mata. Kami telah menciumnya beratus kali dengan kesejatian cinta yang tiada sumbingnya. Namun sepasang kelopak matanya tetap tidak pernah sudi terbuka. Putera manakah yang ditunggunya? Sungguh, aku tidak mengerti apa yang ditunggunya hingga dia lena dalam tempoh yang sebegitu lama. Tidak adakah yang dapat membuatnya jaga?
Sunday, January 27, 2013 | By: Luna Biru

Berani si penakut



Akhirnya si penakut itu pun memberanikan diri untuk menekan butang 'send' ke alamat maya ITBM. 

11 cerpen kupertaruhkan bersama 30 koleksi puisi. Aku tak tahu apa nasibnya karyaku itu di tangan para juri. Perlu kuakur bahawa karakter pemilihan juri adalah berbeza mengikut persepsinya melihat dunia serta kematangan pengalamannya. Tiada harapan kusandar kerana aku tahu karyaku terlalu berat untuk diterima oleh kita-kita yang selalu malas berfikir. Genre misteri, dunia mistik dan kisah cinta yang menggunakan bahasa melankolia bukanlah sebuah pertaruhan yang selesa. Apapun, bantulah aku untuk mengaminkan doa dan harapanku...ok...?


Catatan untuk Melati

Sudah lama aku ingin menulis entry ini khusus buat sahabatku, Melati. 

Setelah permohonan maafku ditolak dua kali, aku jadi malu untuk menghubunginya meski aku punya hutang budi yang belum terlangsai. 

November tahun lepas, Melati ada mengutus sesuatu di inboxku yang akhirnya kubiarkan sepi. Bukan tak sudi membalas tapi bagai kaki di kasut yang dipakai terlalu lama, maka hati itu pun bisa jadi berkematu. Bukan ego. Bukan juga merajuk. Cuma begitulah....tanpa alasan...kematu itu sudah terlanjur ada di situ. Biarlah aku hanya menjadi pembaca pasif blognya saja. Dia cuma perlukan seorang tembok, kan? Aku tak mampu menjadi tembok. Maka hanyalah inilah yang mampu aku lakukan. Keterlanjuran yang telah aku lakukan bukanlah perahu yang dapat kuundurkan lagi. 

Membaca blog Melati sejak akhir-akhir ini buat aku sedar kalau dia dihimpit sedih dan resah yang tidak terungkap oleh kata-kata. Malangnya aku tidak mampu lagi menjadi telinga yang mampu mendengar gulana gundahnya. Sesingkatnya (takut tersalah bicara lagi), aku hanya mahu Melati tahu bahawa aku sentiasa mendoakan kebahagiaan buat dia. Semoga dia tabah mengharungi dugaan dalam hidupnya. 

Amin.

Arin dan Anis : Kisah takdir berbeza

Mula-mula Anies jadi pilihan Mr. Cardiff City, sekarang Arin pula menyusul jejaknya. Meski rezekinya tidak sehebat Anis; cuma mampu bersaing di dalam negeri saja, tapi aku harap ini adalah flatform untuknya melangkah lebih laju. 

Mungkin, siapa tau, aku bakal mengganti Haji Sidek dalam mengeluarkan produk sumber manusia dalam bintang sukan. Oh, untung juga ada ramai anak ya...ada bakat dalam sukan, lepas tu train kenyang-kenyang, then kena beli oleh konglomerat sukan. Haha...sound terrible. Tapi rezeki tu di tangan Tuhan. Banyak benda yang kita langsung tak rancang dan tak terlintas pun nak minta, DIA bagi free-free pada saat yang langsung tidak terduga. 
Saturday, January 26, 2013 | By: Luna Biru

tanpa suara

Ada buntu yang membebat sampai aku tak terlihat ruang yang nikmat. Sempit. Nafasku separuh di langit separuh lagi menyesak ke rongga sukma. Kudengar bunyi telingaku berdesing. Ngilu. Itu tandanya Rasulullah pun sudah merindui selawatku. Sebegitu khusyuknya kah mencari sebutir berlian di bumi Tuhan sampai aku lupa mencium sejadah? 

Duhai, 

Kalau gunung pandai bersuara pasti sumpah seranah yang dilontarkannya pada aku. Kenapa tidak? Sedang kita adalah mahkluk terbaik menerima amanah tapi akhirnya lalai oleh duniawi. 

Kulihat ada burung-burung hitam atas kepala. Terbang tak mahu pulang. Enyahlah kau, burung! Jangan tahmidkan aku dengan zikir kosong kelak aku semakin terbius oleh beban pesona yang semakin memerangkap jiwa. 

p/s  : aku lalai. maafkan aku. 
Monday, January 14, 2013 | By: Luna Biru

Tahniah Anies...Cardiff City here we go...



Setelah hampir sebulan menunggu jawapan, akhirnya malam ni terlerai sudah sebuah penantian. Satu panggilan dari pihak ASTRO 1MCC telah memaklumkan yang Anies terpilih untuk menjadi peserta Malaysia ke Cardiff City, United Kingdom. 

Alhamdulillah...

Aku harap jawapan ni akan membuat tidur Anies lena malam ni. Semenjak dua menjak ni Anies bagitau yang dia mimpi dikejar orang hinggakan dadanya sesak waktu bangun pagi. Aku bilang itu tandanya dia risau sangat kalau tersingkir dari menjadi peserta pilihan. Nampaknya malam ni mimpi tu takkan ganggunya lagi.

Hmmm....kalau banyak duit kan ke best...bolehlah join sekali. Tidur tepi jalan di UK pun tak apa...
Sunday, January 13, 2013 | By: Luna Biru

Seorang ibu bukan maksum

Syurga itu di bawah telapak kaki ibu. 

Itu hakikatnya. Tiada sangkalan. Tanpa kompromi. 

Tapi percayalah, seorang ibu tetap tidak sempurna sifatnya. Dia juga bukan maksum dan akan juga melakukan kesilapan. Ibu juga manusia biasa yang terlahir dengan nafsu dan serakah. Seorang ibu tetap manusia biasa yang jantungnya sama macam jantung kita....tidak pernah dibelah dan dicuci dengan air zam-zam. 

Makanya, tidaklah mustahil kalau ibu berbohong demi kepentingan diri sendiri. Tidak juga mustahil kalau ibu itu terbina dengan sifat cemburu terutama kepada anaknya sendiri. Menantu pula dijadikan pesaing senyap. Itu kenyataan. Seorang ibu bukanlah maksum yang bebas dari melakukan kesalahan. Seorang ibu tetap seorang perempuan. Perempuan yang ada 9 nafsu berbanding akal yang cuma 1. 

Seorang ibu mulia kerana nilainya begitu berharga dalam kehidupan kita. Nilai seorang ibu tidak boleh dipertikaikan kemurniannya. Tapi hakikat bahawa seorang ibu juga sering terkhilaf, adalah juga kenyataan yang tidak pernah mampu kita pertikaikan kebenarannya. Jadi, terimalah hakikat dan berlakulah adil kalau kita terpaksa berada di satu posisi untuk menjadi pengadil. Bak kata pepatah, Tarik rambut dalam tepung, tepung tak berterabur, rambut pula jangan putus. 

Sentiasa ada cara untuk menjadi pendamai sejati. 

Aku juga seorang ibu. 

Mangsa zalim



Rasa nak nangis je aku tengok gambar ni. Sampainya hati menyamakan manusia dengan khinzir. Seorang ulama pulak tu!

Ah, tak kiralah ulama atau bukan, tapi apa hak kita untuk sebiadap ini? Malahan, ia jadi bahan sendaan dan gurauan tanpa segan-silu lagi. Aku tidak bercakap atas dasar politik ok. Aku hanya mewakili jiwa seorang manusia. Bayangkanlah kalau diri dihina seperti ini...

Na'u zu billah min zalik.

Semoga Allah limpahkan kurniaNya pada mangsa yang dizalimi.

Biar mati anak jangan mati adat VS Melentur Buluh biarlah dari rebungnya

gambar di sini
'Biar mati anak jangan mati adat.' 

Terus-terang, dulu aku menentang betul pepatah ni. Bagi aku, kalau anak mati, siapa pula yang mahu menjunjung adat? Berharga sangatkah adat berbanding anak yang kita kandung, lahirkan dan jaga selama ni? 

Tapi bila anak-anak sudah meningkat dewasa, baru aku faham makna pepatah ni. 

Kalau kita lihat hanya pada luaran, memang kedengarannya sangat tidak adil. Tapi hakikatnya, ia tidaklah sekejam bunyinya. 

Bagi aku, pepatah ini adalah simbolik kepada perasaan terluka ibubapa dek perbuatan anak yang bagai menconteng arang ke muka sendiri. Bayangkanlah anak yang kita didik dengan penuh kasih sayang tergamak menghancurkan hati kita dengan melanggar susila dan etika yang dipegang selama ini. Pepatah ini adalah sebuah rajuk orang tua. Ia tidaklah bermaksud bahawa kita sanggup membunuh anak sendiri semata-mata nak pertahankan adat. Lebih dari itu, adat yang dimaksudkan di sini bukanlah hanya sekadar adat. Tapi ia juga membawa kepada skop yang lebih besar iaitu susila, etika bahkan agama. 
Saturday, January 12, 2013 | By: Luna Biru

Dua yang mungkin

Ada sejenis manusia yang sikapnya suka menimbulkan persoalan untuk diperbingungkan bersama. Manusia-manusia begini terlalu ramai jumlahnya hinggakan kalau dikumpulkan, pasti melebihi jumlah manusia di Pehimpunan Kebangkitan Rakyat. 

Ia adalah suatu situasi yang sangat memuakkan. 

Ibaratnya, tiada beban, batu digalas. 

Mungkin, aku sememangnya tidak ditakdirkan untuk beraksi dalam dunia penggabungan yang sudah sejak awal aku ragui ini. Atau mungkin juga Allah sengaja hadapkan aku dengan situasi-situasi sukar untuk menguji kesungguhan aku untuk mengubah nasib. Atau mungkin juga aku perlu solat istikharah atau mungkin baling dadu untuk menentukan dua mungkin yang terletak atas batu gemala ini. 

Tapi hatiku berat untuk meneruskan. Atas ketakutan pada future consequence, aku rasa lebih baik aku undur diri. 

Kalaulah bisa kuutus surat pada Tuhan...

Happy Birthday, Ibu

Comel pix ni...


12 Jan 2013

Hari ni genap usia ibu mertuaku 56 tahun. Sudah lama kehilangan waktu bermesra dengan ibu. Ada rindu menyentap dalam hati dan kadang, rindu itu menyentak benar.

Semoga ibu bahagia dengan dunianya. Semoga Allah merestui segala usahanya....

Apapun, gembira bila tengok abang bahagia bersama ibunya. Aku tahu dia lebih rindu. Oh...jangan cebik. I really mean it.

La Diva Boutique

09 Jan 2013 (Rabu : Khamis punya malam)



LA'DIVA Boutique akhirnya 'dilahirkan' malam ini secara rasminya...Abah jadi tukang 'bang' sementara jemaah lain jadi muaazinnya...

Tahniah buat Along. 

Sebentar lagi aku akan menyusul dengan LUNALICIOUS ku...
...yang sebenarnya sampai sekarang aku tak pasti nak teruskan ke tidak. Bak kata aku, bahawa setiap yang indah itu ada harganya. Maka untuk mencapai impian menjadi lembaga pengarah LUNALICIOUS, aku sudah terlalu jauh tersesat dengan masa...Malam ini juga sudah cukup membuktikan bahawa aku kalah pada dugaan masa. 

Kokum di minggu pertama



Setiap sesuatu yang indah itu ada harganya. 

Maka inilah harga yang perlu ditebus. 

Kalau dulu, masa kokum dijalankan pada setiap Selasa dan Rabu yang menyebabkan kami terpaksa pulang selewat jam 1.30p.m. Tiada masalah sebenarnya balik akhir. Masalahnya bukan tertumpu pada kami kaum guru. Soalnya budak-budak di sekolah ni (termasuk anak-anak aku) hampir semuanya bersekolah agama waktu petang. Masa masuk sekolah agama pula jam 2.00 ptg. So, imagine sajalah macamana kelam-kabutnya baki masa 30 minit tu....

Acara pertama di tahun 2013


05 Jan 2013...

Hari ni adalah tarikh lahir Mizan dan Shafizah. Selamat ulang tahun, anakku, dan selamat ulang tahun buat sahabat blogku, cik Shafizah yang selalu hilang dari radar. Hari ni Mizan sudah genap 6 tahun (si Fizah aku tak tahu la berapa...hehe...). Waktu aku taip entry ni, Mizan, Ade dan Abe sedang diserang chicken pox. Kesian....harap-harap sembuh cepat. 

Rindu ke?

Masa jadi macam penyaing tegar untuk aku jadi apa-apa. Kadang, aku rasa lutut aku pun hilang sampai aku perlu memapah semangat untuk berdiri balik. 

Yang tinggal satu-satunya harapan untuk terus bertahan adalah hakikat bahawa yang hidup itu perlu terus hidup. 

Kalau korang rasa rindu nak baca blog aku, maka biasa-biasakanlah diri untuk menikmati rindu itu. Sebabnya, selepas ni, aku sendiri pun tak pasti lagi bila aku akan punya masa untuk meleraikan rindu korang semua tu. Aku pun sudah gila mencari ruang untuk berpelesaran lagi bersama dunia isolasi yang sangat aku cintai ini. 

Dan, kalau aku ada di sini malam ini untuk mengetik papan kekunci ini, itu bermakna ada sesuatu yang terpaksa menjadi korban tangguhan. 

Tapi tak apalah. Masa dikejar takkan pernah berhenti. Jadi, teruskan sajalah hidup seperti adanya. Jangan terlalu memaksa keadaan.....kan?

Love. 
Wednesday, January 2, 2013 | By: Luna Biru

Hari pertama sekolah

Hari pertama persekolahan tidaklah begitu membebatkan seperti yang aku takut-takutkan. Segalanya berjalan lancar dan untuk kali pertama aku datang awal sebelum jam 7.00 pagi. Wah...aku patut reward diri aku sendiri. Anak-anak pun sangat membantu melancarkan proses hari ini. Harap semangat ni berterusan sampai ke hujung tahun. Kalau dorang ulang lagi perangai lama, alamat berulang lagilah penyakit lambat. 

Tapi agak kantoi juga bila aku lupa yang hari ni hari Rabu. Mati-mati aku ingatkan hari Isnin. Dengan yakinnya aku mengexcusekan diri aku untuk mengurus pendaftaran anak-anak. Padahal, dalam masa yang sama, kelas aku terbiar tak bertuan. Hampeh. Hari pertama lagi aku sudah buat kontroversi. 


with Mizan. Rambut Mizan yang belah tepi tu si Abe yang punya pasal. 
Tuesday, January 1, 2013 | By: Luna Biru

Abah aku

Adik aku si Oyo yang selalu menduga iman tu, sekali lagi menguji kesabaran. Kalau hari tu dia hancurkan motorsikal abang, hari ni dia hancurkan pula kereta abang. 

Hampeh betul budak sorang ni. Dan macam biasa, bila buat salah, dia akan hilang macam asap-asap rokok yang dihembus keluar ke udara. Jangankan nak mengexcusekan diri, nak minta maaf jauh sekali. 

Kalau cakap pasal marah, memang marah.

Entry pertama

Aku mulakan entry pertama di tahun baru ini dengan sebuah berita baik. 

Hari ni adalah final meeting yang dibuat dengan partner, Cik Kak Yati namanya, setelah berminggu berbulan berhubung melalui orang tengah dan media maya. Alhamdulillah, perundingan nampak cantik dan tidaklah seburuk apa yang ditanggap sebelum ini. Keputusan mesyuarat adalah win-win situation. Hmmm...kan aku dah cakap. Aku ni memang selalu lucky dalam hidup. Tiada istilah teraniaya ataupun penganiayaan. Aku harap berita ni mampu buat kawan halimunan aku a.k.a penasihat kedua aku tidur sambil tersenyum. Yalah...kan dia selalu risau kalau aku bakal jadi mangsa perjanjian kontrak yang berat sebelah.