Friday, June 29, 2012 | By: Luna Biru

MSS Surati 2012 : Luna Loves Photography II

Tak best sangat pun angle gambar aku ni. Saja buat collection...enjoy...

Tariam pom-pom dari murid tahun 1 & 2

MSS Surati 2012 : The final day



Berakhirlah sudah temasya MSS Surati 2012 untuk tahun ini dengan segala kemeriahan dan kegemilangan yang pastinya menjadi kenangan untuk semua. Piala johan keseluruhan telah berjaya menjadi milik rumah kuning, meninggalkan rumah hijau dua tangga ke belakang sementara rumah merah menjadi naib johan. Nasib rumah biru masih juga sama seperti tahun-tahun sudah. 
Thursday, June 28, 2012 | By: Luna Biru

MSS Surati 2012 : Luna Loves Photography

MSS Surati 2012 akhirnya berlangsung pada 28 & 29 Jun 2012, setelah beberapa kali tertunda atas alasan-alasan teknikal. Hari ini beberapa acara sudah dipertandingkan, tinggal lagi besok, penentuan untuk segala usaha. 

Tahniah kepada semua warga guru dan KTBM Sk.Surati yang sanggup berterik berpanas demi menjayakan acara ini. Tahniah atas kerjasama yang padu dan semoga sukan ini dapat menjadikan kita mencari dan menggilap permata menjadi butir bintang di langit sana. 

Amin...

Junaidi, rakan jurulatih yang berwibawa buat aku hormat sama dia. Hensem pula dia dari angle ni

MSS Surati 2012 : Hakim lompat tinggi


Tahun ni macam dua tahun sudah aku bertugas lagi menjadi hakim lompat tinggi. Aku mulai menyukai tugas ini dan belum lagi terniat mahu merungut untuk ditukarkan tugas. Sungguhpun terpaksa berpanas terik di bawah matahari yang menggigit kulit aku yang sensitif ni, tapi aku sangat menikmati hasil yang dapat kutuai dari tugas ini. 

Tugas ini mencabar aku untuk menjadi manusia adil dalam memberi ruang kepada murid untuk menjadi diri sendiri. Oleh kerana ini adalah sukan sekolah yang bertujuan untuk mencungkil bakat dan potensi murid, maka aku banyak memberi kelonggaran dari segi persiapan mental agar peserta dapat lebih bersedia sebelum melakukan lompatan. Aku malah sanggup melanggar undang-undang untuk memberi taklimat mengenai teknik lompatan kerana aku tahu mereka tidak cukup latihan untuk menjadi kental dari segi jasmani dan rohani. Bagi aku, 3 perkara penting dalam perkara ini iaitu; Rileks, sudut dan lonjak. 

MSS Surati 2012 : Perjuangan Abe Haiqal

Agak terkejut tadi saat mengetahui Abe ku tidak terpilih dalam acara yang memang menjadi makanannya selama ini iaitu Lompat tinggi dan hurdle. Well, aku bukan jurulatih pasukannya lagi jadi aku tak boleh masuk campur dalam urusan pemilihan peserta. Tapi aku tidak bercakap bagi pihak seorang ibu. Sebagai guru yang bersama Abe, yang melatih dan mengcouchingnya baik dalam olahraga, sukan padang dan permainan, aku nampak sangat potensinya. Sementelah pula Abe sudah menjadi wakil ke zon dua kali. Penyingkirannya amat menganehkan hati aku. Malahan, sewaktu pemilihan dan latihan juga aku melihat potensinya yang mampu membuat lompatan lebih dari 1 meter, malahan jauh lebih baik dari wakil yang menggantikan posisinya tadi. Tapi mungkin juga jurulatihnya punya strategi sendiri yang disusun untuk meraih pingat bagi pasukan mereka. Kemudiannya, aku dapati Abe juga sama sekali tidak disenaraikan dalam acara hurdle dan juga acara 200meter. Ok. Maaf kalau agak menyangkal kebolehan jurulatih yang arif. Tapi hal ini sememangnya amat mengejutkan. Dan, cubalah bayangkan perasaannya yang sudah melalui proses reharsal kelmarin dan telah mendapat tempat yang baik tetapi hari ini dia ternyata tiada dalam mana-mana senarai kecuali 4X200m.
Tuesday, June 26, 2012 | By: Luna Biru

tanpa tajuk

Patutkah aku rasa marah atas sebuah teguran yang betul walaupun ianya ditegur dengan cara yang tak berapa betul? 

Hakikatnya, aku tak marah. Cuma rasa sedikit terkilan bila mengenang hal peribadi diungkit secara umum di depan umum. Aku sedar kesilapan aku dan aku sudah berkali-kali cuba memperbaiki tapi nampaknya ianya tak berapa dapat diperbaiki sampai ke akar umbi. Usaha aku baru sekerat-kerat jalan dan ianya terlalu dangkal untuk diterima oleh mana-mana pihak sekalipun. Aku sedar orang pun bosan dengan masalah peribadi aku yang boleh jejaskan masa dan emosi orang. Aku pun bosan juga. Malu jangan cakap. Tapi macam aku cakap tadi. Usaha aku sekerat-sekerat dan belum pernah cukup.

Kalau aku kena terima tindakan susulan untuk benda yang aku usahakan tak pernah habis ni, apa boleh buat. Terima sajalah. Memang salah sendiri.  
Sunday, June 24, 2012 | By: Luna Biru

Nilai sebuah pengajaran.

Ketika Allah sudah mengeluarkan doaku dari senarai menunggu, lalu memakbulkannya dengan sebaik-baik kesudahan, entah kenapa airmata ini masih terus mengalir lagi. 

Mungkin kerana rasa haru, ataukah kesal yang menguasai pundak hingga mataku gagal menjadi penipu? 

Ya Allah, 
Mahalnya harga sebuah keinsafan. Perihnya harga sebuah kebenaran. Naifnya nilai sebuah pengajaran.

Tapi Kau lebih mengetahui akan segala sesuatu ya Allah. Sesungguhnya tidak ada yang lepas dari pengetahuanMu dan sesungguhnya, Engkaulah sebaik-baik hakim yang adil. 

Tolehlah sebentar


Sesekali kita juga perlu menoleh ke belakang
supaya kita bisa melihat jejak yang kita tinggalkan
di atas pantai sebuah kenangan sebelum ia hilang bersama gigi ombak.

Sesekali perlu juga kita menoleh ke belakang
agar kita tahu persis seperti apa dunia yang telah kita tinggalkan
sebelum kita sampai ke dunia sekarang.

Sesekali biarlah kita menoleh ke belakang
biar kita sedar bahawa sejarah telah tersadai di sebelah sana
menuntut tanggungjawab untuk kita terus memperbaikinya.

Sesekali berjalan,
tolehlah ke belakang
supaya mampu kita kutip kembali
sesuatu atau apa-apa saja yang telah sengaja atau tidak kita cicirkan.

Menoleh tidak salah.
Tapi jangan mundur.

Erti sebuah parut

Parut itu mengingatkan kita bahawa kita pernah terluka
luka itu mengajar kita tentang erti kesakitan
kesakitan itu pula menjadikan kita mengenal erti sakit, 
sakit yang telah menewaskan kita sampai jatuh, 
tersungkur dan rebah.

Parut itu adalah kesaksian tentang perang-perang sialan.
Ia sudah terlanjur dilakar dalam lembaran hitam putih hidup kita
yang digulung dalam skrol sebuah artifak
menjadi khazanah sebuah sejarah
kita terlalu lambat memadamkannya
hingga tiap tinta yang menitis sudah bergaul sebati 
dalam setiap helaian mukasurat yang tua dan usang
Ia bagaikan daging-daging merah yang tumbuh di atas luka
semuanya bersatu dengan kulit dan tulang
menjadikannya sebuah parut yang aneh dan mengerikan.

Parut itu adalah simbol kebodohan dan keangkuhan.
Ia akan terus berada di situ sampai kau dan aku mampu
mencari serbuk pari-pari untuk melenyapkannya.
Masa adalah penentu jarak ilusi yang menawar penyembuh paling mujarab.

Dan,
sementara kita belum menemukan keduanya,
biarkanlah parut itu akan terus di situ begitu;
Supaya kita tak akan pernah lupa
tentang perih yang terpaksa kita jalani
untuk sampai ke kemuncak sejarah ini.


Saturday, June 23, 2012 | By: Luna Biru

Sebuah tazkirah

Secebis kasih buat kita bahagia
seucap janji buat kita leka
sekecil luka buat kita kecewa
seikhlas budi buat kita teruja.

Namun seburuk manapun ujian menimpa,pasti ada hikmah di sebaliknya.
Dan sesungguhnya, sebuah ikatan persahabatan dan kekeluargaan itu adalah selamanya bermakna.
Biar biduk berlalu pastikan teratai tetap bertaut.
Biar buaya merentang danau, pastikan kiambang tidak berkecai
Biar petir membelah bumi, pastikan tualang tegak berdiri.

Jesteru, dalam meniti hidup yang singkat ini,marilah kita bersama menjaga ikatan kekeluargaan ini dengan ikhlas dan tidak menaruh prasangka sesama sendiri. Amalkanlah sifat saling faham-memahami, toleransi dan hormat-menghormati. Andai ini dapat kita jaga, InsyaAllah itulah hakikat makna hidup yang hakiki.

Semoga ikatan persahabatan dan kekeluargaan ini sentiasa dipayungi rahmat Allah selagi hayat dikandung badan.

Ingatlah, sesungguhnya kita bukan malaikat yang tidak pernah membuat dosa. Kita juga bukan manusia yang maksum yang akan terhindar dari membuat kesalahan. Pun kita bukan wali atau ambiya yang selalu suhud hanya padaNya.

Lautan manakah yang tidak bergelora? Dan bumi manakah yang tidak ditimpa hujan? Kita hanya sekadar insan biasa yang sering melakukan kesalahan dan sering alpa pada nafsu dan emosi.

Jesteru itu, ampunilah kami Ya Allah dan limpahkanlah kami dengan berkah, rahmah dan meghrifahMu dengan iman, amal dan taqwa yang terpuji. Hanya amal saleh yang di bawa serta kebahagiaan hidup yang abadi.

Ingatlah, sesungguhnya Islam itu adalah bersaudaradan terlalu indah untuk dimiliki.

Amin ya Rabbal Alamin, Barakallahul Azhim....

(copy sms abah untuk aku jam 10.34p.m. Terima kasih abah)
Friday, June 22, 2012 | By: Luna Biru

Sebuah Kehilangan abadi



Hari ini menerima berita sedih tentang kehilangan bapa mertua.

Abah sudah lama menderita sakit kanser leher. Penyakitnya mula dikenalpasti sejak dua tahun lepas. Semenjak itu, abah sering ulang-alik ke hospital. Baru-baru ini sakit abah semakin kronik, berat badan abah menyusut hingga menjejaskan rupa fizikalnya sama sekali. Abah kemudiannya dimasukkan ke SMC Damai dua minggu lalu. Akhirnya, abah menghembuskan nafas terakhirnya hari ini. Kami lambat 5 minit. Kasihan abang. Sudahlah semalam dia tak datang melawat sebab buat solat hajat dan  bacaan yassin di masjid Takis khas untuk abah. Pagi ni, dia pula tak sempat jumpa abah.

Sesungguhnya, perpisahan itu adalah janji yang kekal. Al-Fatihah untuk abah. 
Tuesday, June 19, 2012 | By: Luna Biru

Sampai bertemu tebing


Ku ingin kayuh ke depan
Biar sampanku mudik ke muara
Lelah sudah ku berada di sungai ini
Diintai buaya-buaya kelaparan
Dipatuk ular-ular bergantungan
Tersangkut di batu dan terhantuk di ranting
benjol dahi dan lebam tangan

Luruh sudah segala kekuatan
Hanya aku mahu menghabiskan semua ini
Di garisan penamat sampai bertemu tebing
Biar tinggi pastikan ku panjat
Biar curam pastikan ku ceruni
Sebelum sampanku makin bocor, karam di air.

Perang sialan

Kau adalah gerila perjuangan yang
Membangkitkan hantu-hantu kenangan.
Kau dan prajuritmu berkeliaran saban detik
Bagai semut-semut hitam yang terus merayap.
Aku ingin sembunyi dan mati
Tapi matamu yang nyalang bagai helang
Terus menggeledah memperkosa takutku
Hingga jantungku kekeringan mengincar alasan untuk terus merasa kuat.

Aku adalah soldadu yang tewas sebelum bertempur
Telah kupakai perisai besi melindungi tubuhku
Telah kutabur belerang melindungi sarangku
Telah kuasah senjata melindungi kehormatanku
Namun kau terlalu bijak menyusun startegi
Hingga aku tak pernah mampu melakukan apa pun
Kecuali mengintai dari tembok ini.
Menunggu adalah harapan yang sia-sia
Kesempatan tak pernah ada dan harapan adalah pembunuh nyata
Tanpa kusedar anggotaku sudah rontok satu-persatu
Pelan-pelan, rupanya aku sudah mati.

Kini yang tinggal cuma kepalaku
Kepalaku itu memain tiap kenangan bagai putaran pita rosak yang mulai mengabur
Tiba-tiba aku tidak mengerti untuk apa pertempuran ini
Atau aku sudah gagal mengingat alasan yang telah
Mengheret kita ke dunia yang serakah ini
syukurlah kepala itu masih tersembunyi di balik perisai besi
supaya kau tak melihat betapa rapuhnya aku
supaya aku juga tak melihat betapa puasnya hatimu.

Segurat senyum masih tersisa dihujung bibirku yang memucat
Hanya itu saja yang ada untuk aku terus merasa tegap. 
Monday, June 18, 2012 | By: Luna Biru

Tempoh yang lupus


Kukira jarak tempoh itu telah mengubah sesuatu tentang kamu;
tentang persepsi,
tentang harapan,
tentang bathil atau benar.
tentang apa-apalah...

Tapi tempoh itu ternyata belum cukup
untuk menjadi alibi kebenaran
maka segalanya tetap saja jadi bukti yang kabur
di mahkamah negerimu.

Kukira sia-sia saja kuhabiskan umurku di penjara reman
bersambung antara hari, pekan, purnama hingga ke tahun
namun kemudian kuakur penjara ini hanya mengunci jasadku
sedang kalian di luar sana terus terpenjara memeluk angkuh.

Hari ini tempoh penjaraku sudah lupus.
Aku sudah membebaskan diriku hari ini
Kalian, bila lagi?
Sunday, June 17, 2012 | By: Luna Biru

Lepaskanlah...II

Ini bukan entry balas buat sahabatku, Susan. 

Aku malah tidak tahu kalau dia menulis entry itu untuk aku, atau kerana aku. Tidak ada namaku sama sekali disebut dalam mana-mana perenggan pun dalam penulisannya. 

Aku cuma perasan-perasan saja dan menganggap bahawa dia sedang menujukan entry itu untuk aku.  Tajuk 'Lepaskanlah' yang ditulisnya seolah-olah ada kait-mengait sama Mimpi I dan beberapa insiden yang agak bercelaru semenjak dua menjak ini. 

Sambutan Hari Guru Daerah Papar

16 Jun 2012.

Genap sebulan barulah terlaksana majlis Sambutan Hari Guru bagi daerah aku yang tercinta ni.

Tahun ni, segala perancangan yang dirancang dari tahun lepas, semuanya tidak dapat dicapai. Hasrat untuk meneruskan perjuangan filem kami macam kejayaan di tahun sudah,  terbengkalai tepi jalan. Ibarat kompang sudah dipalu, telur sudah direbus, pelamin sudah sedia tapi pengantin tak sampai-sampai. Begitulah halnya projek filem ni. Terdengar suara-suara sumbang di belakang yang mengatakan acara tahun ni sudah balik semula macam acara sebelum-sebelum ni. Jauh-jauh datang, nyanyi, ikrar, dengar ucapan, makan dan balik. Dorang ingatkan, bermula dari kehebatan tahun lepas, tahun ni ada kesinambungan lagi. Filem kami ditunggu-tunggu. Puisi kami dinanti-nanti. Oh...terima kasih peminat-peminat semua. Tapi maaf...kuasa mutlak bukan di tangan hamba.

Pahat terus berbunyi

...kuburku masih tak bertanda.

Jadi, terpaksalah aku ukir nama sendiri di batu nisan
kalau kau lalu sini jangan kau sangka pula aku ni hantu
atau saka aku tolong buatkan kerja aku
sebab yang tengah mengukir tu memang betul-betul aku. 
Kau takut ke? 
Kesian kau...

Kau dengar pahat tu berbunyi?

Oh, sebenarnya aku sudah siap dari petang kelmarin
tapi bunyi dum-dum-dum tu tak pandai berhenti 
nun sayup-sayup masih tersimpan dalam alam 
kau tahukah kalau bunyi takkan hilang?
Maaflah kalau ganggu tidur kau
aku tak punya kuasa hilangkan gema. 
Kesian kau...

Err...kau bila nak datang melawat aku ni? 
tolong bawa seteko air mawar untuk jirus pusara aku
jangan lupa berwuduk dulu supaya berkat Fathihah bila 
kau amin nanti. 
Jangan lupa juga ingatkan diri kau yang kau akan ke sini juga nanti,
menyusuli aku menjadi manusia yang mati dengan
nyawa masih di badan. 
Kau mesti belum sedia,kan?
Kesian kau. 

Eh, tengok tu, mulut kau ada darahlah. 
Darah aku ke tu? 
Oh ya...Aku lupa kau melahap dagingku mentah-mentah.
Bukankah mulut itu juga yang menikam aku? 
Tu lah kau...aku dah kata, kalau pegang pedang, biar pegang dekat tangan
jangan pegang dekat mulut
kalau di tangan, masih boleh sembunyi, 
kalau dekat mulut, tutup pakai gincu pun susah mau tipu. 
Kesian kau....

Jadi, macamana? 
Sedap ke daging aku tu? 

Tapi tak apa,
aku masih ada banyak lagi daging-daging tersimpan
aku tak marah kau makan separuh
aku tahu kau lapar. 
Tak apa. Kalau kau nak, makanlah lagi. 
Aku tak marah. 
Kesian kau...

Betul ni. Silalah...



p/s : sarkastik sungguh. Terinspirasi dari filem Nongkrong. Tak de kene mengene dengan yang hidup atau yang mati ok! 
Friday, June 15, 2012 | By: Luna Biru

Sebuah tazkirah

Ihram itu tercengang
Mikraj itu naik
Tubadil itu terganti
dan Munajat itu permohonan.
Di alam azali empat sekawan
Satukan ianya dalam makrifat
dan haram hukumnya andai dipisahkan.
`
Kerana ianya modal asas untuk kita
menjejaki 7 langkah Adam ke ambang syurga.

InsyaAllah, apabila ini diperolehi
di sana kalian akan mengenal diri yang hakiki,
sebagai fitrah diri insani menghadap diri Illahi Rabbi.
Semoga fatwa ini dapat membantu untuk kita membuka hijab
antara Aku dan Dia.
Andai kita sukses mencapainya,itulah Hablum-Minallah.
Syaratnya,jangan kita abaikan Hablum-Minnas.
Andai ini dapat diharungi,tika itu terhapuslah segala
perbalahan dan persengketaan antara insan & manusia.
Kerana...kita adalah sama.

Sesungguhnya, Islam itu bersaudara dan sangat indah
untuk dimiliki
Teramatlah rugi insan yang bergelar makrifat bila mengabaikannya.

Nota:

(Jawapan dari abah rentetan entry Hablum-Minannas)

Antara Garisan

http://www.malaymoviesfull.net/2010/12/antara-garisan-drama-terbaik-anugerah.html

Aku berkali-kali menonton telemovie ini. 

Dan ternyata aku masih menyukainya. 


Aku suka pada tema yang ditampilkan serta mesej yang cuba disebarkan oleh sang penulis dan pengarah yang bijaksana. 
Thursday, June 14, 2012 | By: Luna Biru

Katanya...

Katanya, aku jangan mudah ambil hati. Jangan perasan bagus dan jangan pula terlalu menoleh ke belakang. Jangan mencari kesalahan orang lain tapi lihatlah ke dalam diri, buat meditasi, koreksi dan muhasabah diri biar diri sedar bahawa segala yang berlaku puncanya dari aku. 

Katanya lagi, aku tidak perlu menyalahkan keadaan dan orang lain hingga mengganggap bahawa diriku ini mangsa yang dizalimi. Katanya, aku manusia yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat pemberian Tuhan, aku tidak jujur dalam perhubungan silaturrahim dan selalu mengharapkan balasan dari setiap perbuatan baikku. Katanya aku hipokrit, penipu dan suka melakukan kebinasaan pada orang lain. 

Katanya aku adalah manusia yang bakal mendapat tulah dan kutukan dari Allah, katanya aku ini macam nenek kebayan yang pasti akan masuk neraka. Paling bermakna, katanya, aku ini dajjal. 

Mungkin kata-kata itu diucapkan saat emosi mengaburi akal logik. Mungkin, saat minda sudah bersatu dengan rasional, dia menyedari betapa rakusnya kata-katanya itu dan dia akan menyesali keterlanjurannnya. Mungkin, besok, kalau Tuhan bukakan mata dan hijab, dia dapat melihat bahawa aku bukanlah seburuk tanggapannya. Mungkin, kalau besok Tuhan lembutkan hatinya, dia mahu memperbetulkan balik keadaan yang sudah tersimpul runyam ini. 

Mungkin. 

Mudah-mudahan. Aku tidak  pernah putus berdoa. Tapi barangkali doaku masih dalam senarai menunggu. 

"Hablul Minannas"

"Hablul Minannas"

Itu pesan abah. Tadi. Kemarin. Malah sejak ubun-ubunku masih selembek bubur. Wajib seorang umat Islam menjaga hubungan baik sesama manusia. Lihatlah Rasulullah, biar dilempar najis, Baginda tetap saja tersenyum, malah tetap mahu mengunjungi sepelempar itu saat mereka menghadapi musibah. Baginda malah sanggup memberikan selendangnya menutup tubuh manusia kafir. Dan, bla-bla-bla...tentu saja kalian semua tahu cerita selanjutnya mengenai kemurnian hati Rasulullah. Ia adalah kisah yang tiada tolok bandingnya. Tanpa prejudis, tanpa pertikaian. Baginda adalah manusia maksum, pemilik akhlak paling pekerti. 

Kukerat rotan, ku patah arang.

Rotan kukerat,
arang kupatah
biar ampuh hatiku berkarat
takkan bisa kau cantum lagi
menjadi air yang telah kau cencang.

Kau dan aku bukan kiambang
dan sejarah bukanlah biduk
mana mungkin kita kan bertaut kembali
setelah serakahmu memusnahkan sungaiku.

Takkan kusimpan pun namamu di peti besi
atau wajahmu di galur keturunanku
sedang kau hanyalah sampah
pencemar daulat kebenaranku.

Enyahlah kau nun jauh ke pulau bagai manusia berkudis buta.

Kosong

Gelisah. 

Itu yang mencengkam. Bagai menanti hukum mati yang lama lagi. 

Pasrah. 

Itu bukan seikhlasnya aku. Pasrahku bersyarat langit kutongkat. 

Redha. 

Itu juga jauh panggang dari api. Hatiku tidak sejernih kristal tapi berkabut di muara. 

Bersalah. 

Itu bukan tuduhan. Baik untukmu atau untukku. Kerana aku bukanlah amil yang dapat menghakimi manusia dalam mahkamah dunia. 

Dendam. 

Pun bukan caraku. Meski syaitan itu selalu mengarah ke kompas itu.  

Kontang.

Mungkin inilah rasanya. Jiwaku, hatiku, ayuku sudah sekering tanah merah. Sekering pundakmu saat kucium kedua lututmu. 

Kosong.

Dan biarlah kau menjadi lagenda. 


Jangan pergi

Sedekad padi kutanam, yang tumbuh lalang, bajanya racun.

Tapi jiwaku bukanlah milikku seutuhnya. Tuhan punya rencana sendiri yang telah digariskan untuk aku. Sebaik apapun perancangan, manakan mungkin kulawan mulus iradatNya. Bukan ku takut pada takutku, bukanku sombong pada adapku, bukanku angkuh pada benarku. Kau takkan tahu apa rasaku kerana aku sendiri tidak mengenal apa bentuk rasa itu. 

Kalau Tuhanku yang baik itu dan selalu mahu tersenyum padaku, meski menista dosa ku berbusa mahu menjawab, maka berikanlah jawapan itu malam ini. 

Aku tunggu. 

Hanya satu pintaku, jangan kau pergi membawa pembohongan dan jangan kau tutup matamu sebelum dia mengembalikan sepasang pakaian bersihku. Biar ku sarung pakaian itu membalut tubuhku yang sudah telanjang bulat-bulat bersama aib yang hitam pekat. 
Monday, June 11, 2012 | By: Luna Biru

Mimpi II

Aku bermimpi aneh lagi. 

Aneh, mistik dan berdiri antara ketidaklogikan. 

Kalau aku cerita mesti korang gelak-gelak sakan. 

Tapi kalau korang alami, mesti meremang bulu roma. 

Aku bermimpi arwah Sudirman. 

Ha....mau tergelak sudah? 

Mimpi

Sudah dua malam aku bermimpi aneh. 

Pertamanya, aku bermimpi melihat taufan di dalam sebuah kotak diorama kaca (semacam aquarium besar) yang di dalamnya ada sebuah rumah dan sepasang suami isteri. Rumah mereka hancur dan si isteri menjerit-jerit meminta tolong dariku. Aku tidak dapat melakukan apa-apa kerana kaca itu sangat menghalangi aku. Entah bagaimana akhirnya si isteri berjaya menembusi kaca itu dan berada di tempatku. Katanya, dia minta maaf atas segala yang berlaku dan meminta aku menghalalkan segala perbuatannya. Katanya lagi, kalau aku perlu menyalahkan, salahkan saja suaminya kerana suaminya itulah punca semuanya berlaku. Dalam usaha aku memahami maksudnya, suaminya juga berjaya menembusi dinding itu. Sambil mengengsot, dia berulangkali meminta maaf dari isterinya. Gagal memahami satu apapun yang berlaku, aku dalam mimpi itu berlari hingga akhirnya aku berhenti di tebing sungai. 

Tiba-tiba sebuah kotak diorama kaca muncul lagi. Ribut taufan yang sama berulang. Tapi kali ini ia menimpa dua orang perempuan muda yang berdiri di cerun sungai yang tinggi. Salah seorang darinya hampir jatuh dan seorang lagi berusaha menyelamatkan. Mereka menoleh padaku tapi tidak sedikitpun meminta tolong padaku. Merasa tidak diperlukan, aku pun beredar dari situ hinggalah aku bertemu dengan sebuah gurun yang hitam. 

Tidak ada apa-apa di sana kecuali seorang lelaki. Lelaki itu hanya bercakap sepatah perkataan yang berulang kali dia sebutkan;

"Lepaskanlah..."

"Lepaskan apa?" tanya ku.

"Bencimu, marahmu, lepaskanlah...supaya kau bebas...kau lepaskanlah..."



Dan subuh pun muncul menjadikan aku terkulat menafsir makna....

Selamat pagi semester dua

Semester dua muncul begitu matahari bergaris atas langit. 

Bersedia atau tidak, kita kena juga bolos dinding itu. 

Cuti-cuti Malaysia yang sakan gila menjadikan hari ini begitu memenatkan dan kosong. Murid-murid pun datang dengan kepala yang masih ada PS2 dan chatting muka buku. Cikgu-cikgu macam aku ni pula mulai gelisah dengan tarikh-tarikh mati yang sudah hampir bertemu dengan malaikat maut. Oh cuti adalah anugerah Tuhan yang terhebat dengan syarat segala urusan kau selesaikan lebih awal supaya baki kerjanya tidak di bawa ke hadapan. 

Si Acik pun masih berterbangan di alam kayangan bila dia sendiri tidak tahu di mana letaknya buku-buku sekolah agamanya. Cuti sekolah, cuti buku juga. Pembelajaran akademik yang terhenti rasanya bukan silap anak semata-mata. Mak bapak dia ni yang lalai gegarkan loceng.  

Kepada cikgu-cikgu, selamat kembali bertugas. Sepenggal tahun sudah berlalu. Ada sepenggal lagi menanti. 

Hidup mesti diteruskan. 
Tuesday, June 5, 2012 | By: Luna Biru

Manipulasi


Frasa di atas mengena sangat. 

Itu yang dipanggil manipulasi makna. 

Aku kenal beberapa manusia sebegini sifatnya. Sifat licik yang menjahanamkan hidup manusia lain. Mahu digelar apa manusia sebegini dalam istilah islam? Munafik? Kurang tepat rasanya. Suka memfitnah? Pun kurang tepat. Kerana apa yang diperkatakannya betul, cuma maknanya tidak sama. Fakta yang benar diputarbelitkan hingga yang baik jadi kusut. Apa ya istilahnya? 

Luna loves photography : Cinta di Sutera

Cinta di Sutera


Ia adalah detik yang sudah dirancang bertahun-tahun, saat pertama kali ke sini pada musim bulan madu yang wangi. Namun saat dan komitment menjadikan mimpi itu kami simpan saja di dalam laci. Ada waktu-waktunya, kami membuka laci itu untuk memastikan mimpi itu masih ada di sana. Kami memeliharanya dengan baik agar mimpi itu tidak jadi busuk kerana terlalu lama memekam di situ. Mimpi yang sangat mudah dan terlalu kecil, rasanya, kerana aku yakin pasangan lain pasti ada menyimpan mimpi yang lebih besar lagi. Tapi Sutera Habour punya cerita tersendiri menjadikannya selalu istimewa di mata kami. 

Resepsi Walimatul Urus Aniey & Appy


Perkahwinan itu bermakna membina sebuah keluarga baru, menyatukan dua buah keluarga besar dan tentu saja bermakna meluaskan sebuah empayar ke sebuah negeri kecil. 

Alhamdulillah, hari ini, 2 Jun, 2012, dua hati telah bersatu dalam sumpah bersaksi Tuhan menuju ke sebuah jalan ke negeri itu. 
Monday, June 4, 2012 | By: Luna Biru

Sebiru laut


Laut dan dermaga adalah kerinduan kita. Kau menyintai laut sebagaimana aku menyintaimu. Pun suatu saat cinta itu berubah juga. Ingin kubawa kau berlari ke sini mendengar tangis dan tawa ombak yang gelisah di atas batu. Kau pasti menyukainya. 

Tapi aku bukanlah sahabat yang jujur pada takrifanmu, maka mimpi bersamamu di sini hanyalah nyali di hujung tidur. Aku tidak mampu mewartakan apa-apa padamu tentang apa-apa saja di dunia ini, tentang siapa yang perlu kau percaya, dan siapa yang tidak, tentang apa yang belum kau ketahui, dan apa yang berhak kau ketahui; untuk itu aku tak berhak digelar sahabat.

Aku cuma bodoh pandai yang memegang garis murni tentang nilai jujur yang kupahat sendiri. Jujur kita berbeza tafsirannya. Aneh,kan? 


Sebuah Hari Ungu


Ia adalah sebuah hari yang ungu. Seungu hatiku yang rindu pada waktu. Jenuh kutunggu waktu itu mendekat namun tiap detik ia malah rakus menjauh. Kesalkah aku pada sebuah kalbu yang telah kuluka? Ataukah lukaku sendiri tidak bermakna apa-apa lantaran ikatan adat dan sumpah yang melingkar hidupku sepanjang usia? 

Bukan dendam menjadi taruhan. Hanya kebenaran. 

Sebuah kebenaran. 

Berikanlah aku kebenaran itu, maka kan kucium kembali kedua tanganmu.