Raya sudah berlalu untuk hari ke 9.
Kemeriahan raya tak berapa rasa sebab tak menyempurnakan Ramadhan dengan betul agaknya. Atau mungkin juga sebab dah separuh usia.
Apapun, aku berani kata yang Syawal kali ini adalah curahan rahmat yang jauh lebih lebat dari hujan setahun. Rezekinya tidak datang dalam bentuk wang ringgit seperti yang diharapkan. Tetapi ia datang dalam bentuk kebahagiaan yang bukan kepalang. Pertama, sebab buat pertama kali umi berada dalam kondisi paling tenang dalam dunia. Baru aku tahu kalau kita sebenarnya menggantungkan emosi dan kebahagiaan di leher seorang ibu. Baik mood seorang ibu, maka amanlah dunia. Rosak mood ibu, ibarat nila yang tertitik di sebelanga susu....
Kedua;
Dalam kemerosotan jatuh ekonomi yang paling parah dalam sejarah hidup, aku dan kami mulai belajar sesuatu yang bernama sederhana dan keikhlasan. Sampai ke hujung Ramadhan, keperluan raya anak-anak masih terus jadi bahan pening kepala. Keperluan sendiri jangan cakaplah. Langsung tak masuk senarai. Aku dah macam tak cukup kaki dan tangan berkakai macam kucing nak jatuh bangunan. Di saat-saat getir itu, muncul bantuan Tuhan yang dikirim melalui manusia-manusia yang diberiNya ilham untuk membantu. Bantuan itu, adalah satu magis luar biasa kerana aku sendiri tidak pernah berdoa untuknya, tidak pernah mengharap, tidak pernah pula meminta. Alhamdulillah...1 Syawal dan Syawal-syawal seterusnya, anakku mampu beriring sama tinggi macam anak-anak orang lain.
Ketiga;
Rentetan dari segala yang telah dialami, kami anak-beranak duduk hadap-menghadap di malam takbir, bersyukur pada Tuhan atas segala kurnia yang telah Dia bentukkan dalam cara yang tidak pernah kami fikirkan. Aku bertanya pada mereka, sang anak, adakah kesal menjadi bahagian hidup sepasang suami isteri yang tidak mampu memberi sebanyak ibubapa lain? Si Acik menjawab tenang; harta tidak pernah mampu membeli bahagia, mama. Selama ini kita mewah tapi raya kita kusut masai. Malam raya kita bertengkar dan pagi raya kita akan pura-pura bersalam. Tapi kali ini kita bersatu, malam raya kita tenang dan Acik rasa besok kita akan ikhlas bersalam. Jawapan si Acik disokong oleh tiga lainnya. Air mata haruku mengalir diam-diam dalam hati. Mereka sudah dewasa rupanya. Kesengsaraan sudah mengajar mereka jauh lebih baik dari seorang guru ijazah.
Maka besoknya, saat 1 Syawal muncul di dada langit, segalanya benar-benar berjalan dengan sempurna. Tiada tangisan meroyan, tiada tuntutan-tuntutan aneh, tiada jerit pekik suara keldai. Yang ada hanya aman. Aman yang mutlak. Betapa aku telah lama menginginkan Syawal seindah ini sepanjang 37 tahun aku menyambut Syawal. Aku menyalami tangan abang dengan dada selapang wadi di Oman. Ikhlas dan redha...
Jadi percayalah wahai saudara seislamku,
Keindahan di 1 syawal jangan pernah diambil remeh. Saat itu tak akan berulang meski Syawal disambut sebulan, meski Syawal muncul sepanjang hidup. Railah ia dengan penuh keikhlasan dan kesyukuran. Kalau mahu bersalam, bersalamlah pagi itu. Kalau mahu bergambar, bergambarlah sepuasnya. Meski baju raya boleh dipakai berkali-kali dan foto boleh diulang tangkap dalam studio, namun hasil dari gambar itu takkan pernah menipu perasaan kita. Kalau perlu menyimpan sakit, simpanlah dulu di dalam almari baju. Ini hari raya bah.....!
So...ini selfie pertama kami. Silalah beri grade sebab kami budak baru belajar.
Dan these ladies...my Lily, Along and my Umi...
0 comments:
Post a Comment