Sunday, January 9, 2011 | By: Luna Biru

Lautku sudah masin

DATANGLAH


Air mataku menitis di tujuh mubin
menanti hadirmu membawa 
insaf dan maaf
mengharap teduh hatimu
membawa sesal 
angkara kesumat.

Sayang hatimu tak bisa mencair
membeza zahir mahupun yang bathil
menyudut aku antara dusta dan fitnah
melempar nista yang tak terampunkan.

Semoga masih tersisa
himpunan doaku
menyelit antara tujuh awan
sampai ke arasy
menuju ke hatimu...


Aku bukanlah manusia sempurna. Bahkan mengharapkan kesempurnaan pun sudah cukup menjadikan aku manusia yang jahil, kerana sesungguhnya, kesempurnaan itu adalah milik Allah. Hanya milik Allah.

Aku hanya menjalani hidup ini dengan kadar yang termampu olehku. Sekadar mana aku merasa, lalu sekadar itu jugalah aku memberi. Atau malah kadang-kadang lebih sedikit bergantung pada siapa orangnya dan kedalaman perasaanku padanya. Aku kira manusia-manusia di sekitar ku dapat menerima aku seadanya, seperti mana aku berusaha menerima mereka apa adanya. Rupanya, itu tidak pernah cukup. Kerana memang sudah lumrah manusia, yang sentiasa mahu lebih dan dilebihkan.

Sesungguhnya, sebagai manusia yang selalu lalai dan leka, aku tidak sedar dari mana semua ini bermula. Segala kebencian dan nista yang dilemparkan pada aku dari manusia-manusia yang begitu aku sayangi selalu datangnya tiba-tiba. Aku selalu tidak sedar dari mana ianya bermula. Ianya bagai api yang membakar dalam sekam; yang tiba-tiba marak menjulang. Aku terlalu kerdil untuk memadamkannya sendiri. 

Sungguhpun berkali-kali sudah melaluinya, namun aku tak pernah bersedia untuk menghadapinya. Seperti biasa, aku hanya mampu terlopong dan berdiam diri melihat betapa rakusnya mereka menelanjangi aku dengan dusta dan fitnah. Aku hanya mampu berdiam melihat keghairahan mereka menghadirkan saksi-saksi serta sumpah palsu. Aku hanya mampu diam menyaksikan betapa bernafsunya mereka memanipulasi setiap kata-kataku. Duhai, tidakkah kalian takut akan  hukum Allah? Sesungguhnya, janji Allah itu benar.


“Hasbunallah wa ni’mal wakil”
“Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung. Maka mereka kembali dengan nikmat dan kurnia (yang besar dari) Allah, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti keredhaan Allah. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar” (QS Ali Imran: 173-174)

Berkali-kali kuzikirkan ayat itu dalam hatiku, disela esakku. Maha Suci Allah. Yang buruk datang dariku, yang baik jua datang dariNya.

Tapi ternyata, diam itu kadang-kadang disalaherti. Diamku dianggap penakut, diamku diertikan pengecut, malah diamku sering diambil kesempatan. Subhanallah...dengan izinNya, aku bernafas dan menangis, menangisi saudara seislamku yang berjaya menewaskan ku. Lalu dengan nikmatNya jua nanti aku bakal ketawa. Mensyukuri hikmah yang terkandung dalam ujian yang diberikanNya. 


Berhari, malah berbulan kutangisi kekalahanku. Berteleku di atas sejadah sambil mencai wajah Tuhan dalam 'Wajjahtu wajjahia". Airmata seakan tak pernah berhenti mengalir. Beratus kali kutanya soalan pada diri, pada Allah, di mana Dia ketika aku diperlakukan begitu? Apa tindakanNya pada mereka yang menzalimiku? Kalau benarlah aku di pihak yang benar, lalu di mana kebenaranku? Kalau benar aku telah dizalimi, mana janjiMu ya Allah? Bukankah Kau telah berjanji bahawa tidak akan ada hijab antara Kau dan orang yang dizalimi? Mengapakah Kau hanya berdiam ketika mereka rakus menikamku dengan hinaan yang membisa di tengah khalayak? Di manakah Kau ketika aku begitu memerlukanMu? 

Lalu, ketika airmataku sudah terkuras habis, ketika harapanku akhirnya sia-sia, baru aku menyedari sesuatu. Sesungguhnya, Allah tidak ke mana-mana. Dia ada di sini, di dalam hatiku; untuk menyabarkan aku. Dia ada di sini, mengalir dalam darahku; untuk keluar sebagai airmata, menangisi kemenanganku. Dia berada di mulutku, untuk menahan mulutku dari membalas caci maki yang dilemparkan padaku, supaya aku tidak setaraf seperti mereka. Dia berada di tengah lidahku, untuk sentiasa mengigatkan aku membasahinya dengan zikir, bukan dengan buruk sangka dan fitnah. Dia berada di seluruh sendi-sendi tubuhku untuk menahanku menyakiti mereka secara zahir, kerana mereka sesungguhnya orang-orang yang tidak berdaya dan lemah. 

Subhanallah...Maha suci Engkau, Ya Allah...jahil benar aku kerana telah mempertikaikan takdirMu, padahal Kau sentiasa berada di sisi aku, untuk menemani aku, membimbing aku dan menghiburkan aku. Betapa besarNya cintaMu padaku, hingga Kau beri ujian ini untukku, sedangkan Kau tahu aku lemah menghadapinya, lalu Kau beri aku kekuatan. 

Aku bersyukur Ya Allah...Aku bersyukur dengan nikmat ujianMu. Aku bersyukur kerana telah dihina seteruk itu, kerana hakikatnya, hinaan itu tidak merujuk kepada diriku secara tersiratnya. HInaan yang dilemparkan ke atas aku adalah lebih membuka aib mereka sendiri dan menunjukkan betapa rendahnya harga diri mereka dalam memelihara amanahMu. Bukankah haram bagi seorang Muslim itu darah dan harga diri seorang Muslim yang lain? Mudah-mudahan aku tidak dalam golongan itu. 

Aku bersyukur, di balik kejadian ini, membuka mata hati dan minda aku dan kami tentang siapa mereka sebenarnya. Terbuka satu hijab yang menutup pandang mata majazi selama ini. Alhamdulillah...

Aku bersyukur, kejadian itu semakin mendekatkan aku pada Ilahi, menambah rasa iman dan takwa pada kurniaNya. Alhamdulillah...

Aku bersyukur kerana kejadian itu menambah rasa cintaku pada segala KurniaMu...

Ya Allah, Ya Malikul Kudus…
Aku memohon ehsanMu, padaMu yang selalu tersenyum padaku, padaMu yang selalu baik padaku, padaMu yang tidak pernah meninggalkan aku, padaMu yang selalu menegur dan mengingatkan aku, padaMu yang selalu menemani aku, menghiburkan aku, pada KasihMu yang penuh dengan Ar-Rahman Ar-Rahhim, yang selalu setia menyintai aku, yang selalu membimbing aku baik dalam terang mahupun dalam gelap, padaMu yang punya kudrat dan iradat seluas alam, padaMu yang selalu aku tinggalkan, padaMu yang selalu aku abaikan, padaMu yang hatiku dan imanku tak pernah tetap, pada takdirMu yang selalu aku pertikaikan, pada nikmatMu yang jarang aku syukurkan, pada rahmatMu yang enggan ku akukan, padahal tak pernah putus Kau limpahi aku dengan segala kurniaMu, lalu masih jua aku tak melihat, padahal telah kau janjikan aku Jannah FirdausMu, lalu masih jua aku engkari, padahal masih jua Kau hidup dalam nafasku, namun tetap jua aku tak merasa hadirMu, lalu tetap jua Kau berada di sisiku, menemani aku. Dan bahawa sesungguhnya, Kau tetap Kau jua Ya Allah, Tuhan ku yang Esa, yang jiwaku ada di tanganMu…
Ampunilah aku Ya Allah…yang menista dosanya, yang bergunung keengkarannya, yang selaut alpanya, yang berbusa kelalaianya. Dengan izinMu aku menangis, maka dengan nikmatMu jua aku bisa kembali tersenyum. Dengan izinMu, aku diuji, maka dengan rahmatMu jua aku bahagia. Berilah kemenangan atas kebenaranku, hancurkanlah yang bathil atas janjiMu. Biarkanlah airmata ini menitis di lekuk harap tujuh mubin, yang berdiri antara solat-solatMu, yang mengharap belas kasihMu agar sampai ke tiang Arasy…
Amin, Ya Rabbal Alamin… 

1 comments:

azmiladis said...

...kalah tidak semestinya menang, dan menang tidak semestinya benar. Segala sesuatu berlaku dengan izinNya Allah Azza Wajallah, dititipkan dengan seribu hikmah bersamanya. Maha suci Engkau Yaa Allah, kerana dengan limpah rahmat dan kurniaMu, aku masih bisa berada disisinya.

Post a Comment